“Saya bersyukur kerana saya berada di dalam sebuah komuniti yang mengamalkan toleransi, hormat-menghormati dan saling membantu.”

Oleh Nur Shafiqa Fitri Kamsani

Shafiqa ialah seorang pelajar di Universiti Drake di dalam jurusan fizik, yang amat meminati astronomi, serta juga fotografi, penulisan sajak dan cerita pendek.

Mengimbau kembali zaman persekolahan saya, tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang keunikan dalam persahabatan. Boleh saya katakan, semuanya sama sahaja. Tambahan pula, saya membesar dalam persekitaran di mana komposisi kaumnya didominasi oleh kaum Melayu. Maka tidak wujud kelainan atau perkara baru yang saya temui dalam hidup dalam pada masa saya membesar.

Hidup di alam universiti benar-benar membuka mata saya tentang semua perkara, termasuklah isu perbezaan kaum, budaya & agama. Pada awal pengajian, seperti biasa, saya lebih senang bergaul dan berinteraksi dengan pelajar Melayu sahaja. Disebabkan saya ialah salah seorang penerima biasiswa agensi kerajaan, maka saya tidak lagi dikelilingi pelajar Melayu sahaja. Separuh bilangan keseluruhan pelajar di dalam kelas saya ialah pelajar berbangsa Cina, selain pelajar India, malah yang jarang saya temui juga ada: Orang Asli dan Cina-India.

Tentunya satu kejutan buat saya apabila timbul perbezaan dalam cara hidup kami. Pada awal tahun 2012, kami telah menjalankan sebuah program kebajikan di Kota Kinabalu. Disebabkan kekurangan dana, kami terpaksa menginap dan hidup secara sederhana selama 10 hari di sana. Semasa waktu makan, saya mendapati beberapa orang pelajar Cina tidak tahu cara makan menggunakan tangan. Mungkin mereka biasa menggunakan sudu & garpu, saya fikir. Kemudian muncul seorang rakan kami, gadis berbangsa Melayu yang duduk berhampiran mereka dan dia mengajar cara yang betul untuk makan menggunakan tangan. Saya yang dari jauh memerhatikan gelagat mereka, tersenyum sendiri apabila akhirnya mereka belajar sesuatu yang baru pada hari itu; yang pada kami, ia adalah kebiasaan dalam rutin seharian.

Bergaul dengan rakan-rakan yang berbeza agama juga merupakan satu lagi pengalaman baru buat saya. Selama ini, saya tidak tahu bahawa penganut agama Kristian akan ke gereja pada setiap pagi Ahad (betulkan saya jika saya silap). Bagi sebilangan besar daripada kami, hari minggu ialah masa untuk kami melakukan aktiviti luar kampus seperti bersiar-siar, menonton wayang, membeli-belah dan sebagainya. Jadi kami merancang untuk keluar pada awal pagi untuk mengelakkan kesesakan di bandar. Kemudian salah seorang rakan kami berkata, “Maaf, saya perlu ke gereja pada pagi Ahad, pukul 9 pagi. Boleh kita ke bandar selepas saya pulang dari gereja? Atau pun kamu ke sana dahulu, saya akan menyusul kemudian.” Kami bersetuju untuk menunggu dia pulang dari gereja. Melihat perkara itu, saya percaya sikap toleransi seperti ini akan memupuk persefahaman antara satu sama lain, walaupun kita mempunyai perbezaan agama. Hormat-menghormati juga merupakan nilai yang amat penting untuk mengekalkan kesejahteraan dalam komuniti, seperti yang ditunjukkan oleh rakan lelaki saya yang berbangsa Cina ini. Pada suatu petang, azan Zuhur telah berkumandang di seluruh kampus, dan kami masih berada dalam kelas kerana kuliah masih belum berakhir. Beberapa orang pelajar perempuan Cina berborak sesama sendiri dan dia bersuara, “Syhh, be silent. It’s azan.”  Walaupun dia beragama Buddha, namun dia masih menghormati azan sebagai tanda panggilan solat untuk orang Islam. Saya tersenyum lebar sebagai tanda terima kasih atas penghormatan yang diberikan olehnya kepada agama saya.

Soal aurat juga timbul sewaktu saya berbual-bual dengan rakan saya yang beragama Hindu. Dia duduk di sebelah saya dalam penerbangan kami ke Kota Kinabalu. Dengan tidak semena-mena, sebuah pertanyaan diajukannya kepada saya, “Betulkah perempuan Islam perlu tutup aurat?” Saya mengangguk. “Tapi kenapa saya tengok ada pramugari Melayu-Islam tak pakai tudung?” saya tersentak seketika, namun saya masih tenang. Dengan kata-kata lembut, saya menerangkan tentang konsep iman & akhlak dalam Islam. Mujur dia faham mengenai perkara itu. Namun pertanyaan itu berbalik kepada saya sebagai seorang Muslim: adakah saya sudah menjalankan tanggungjawab untuk berdakwah bagi agama saya? Kerana munculnya seorang pramugari Melayu-Islam yang tidak bertudung dan soalan dari teman yang beragama Hindu itu, saya kembali menilai diri. Bagi saya, ini merupakan perkara yang baik yang saya peroleh apabila bersama rakan berlainan agama. Saya percaya, tiada isu “lari akidah” apabila kita melakukannya dengan cara yang betul.

Sebuah lagi kisah tentang aurat. Saya masih ingat, saya dan beberapa rakan yang lain telah ke Port Dickson untuk bersiar-siar dan mandi di pantai sekitar pertengahan 2011. Rakan saya yang beragama Kristian (orang yang sama dalam kisah kedua) telah bersiap-siap memakai seluar pendek untuk berkayak. Kemudian dia berkata, “Maaf ya, ternampak aurat.” sambil menunjuk ke arah kaki di bahagian atas lututnya yang tidak ditutup. Saya cuma mengangguk dan tersenyum. Memikirkan mereka (rakan-rakan penganut agama lain) yang menjaga pandangan saya, timbul rasa hormat yang tinggi pada mereka, jauh di sudut hati saya.

Kisah-kisah yang saya ceritakan di atas benar-benar memberi impak yang mendalam kepada saya. Pengalaman seperti ini tidak ternilai. Saya bersyukur kerana saya berada di dalam sebuah komuniti yang mengamalkan toleransi, hormat-menghormati dan saling membantu — walaupun kami berpegang kepada agama dan kepercayaan yang berbeza, walaupun warna kulit kami tidak sama, walaupun asal-usul kami berlainan.

Dan perkara yang paling manis ; kami masih lagi berkawan sehingga hari ini dan tidak wujud salah faham antara kami walau mengenai apa jua sekali pun. Saya berharap tulisan dan penceritaan saya ini dapat mengubah persepsi orang ramai terhadap konsep penyatuan dan perpaduan.

 Nama saya Nur Shafiqa Fitri Kamsani, dan ini cerita saya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s